Skip to main content

Sukan Lain

Sukma: Aisyah akui saingan makin sengit

aisyah.jpg
Atlet berbasikal lebuh raya Terengganu, Nur Aisyah Mohamad Zubir, mengakui saingan lebih mencabar dengan peningkatan beberapa negeri dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma).

Aisyah, yang meraih emas acara lepas beramai-ramai wanita, turut berasa saingan kini lebih sengit berbanding temasya dua tahun lalu di Sarawak.

Aisyah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3 jam 40 saat, hanya dipisahkan satu saat dengan pemenang pingat perak dari Sarawak, Nur Azrena Ahmad Jumry, dan rakan senegeri, Syarifah Nurilyana Syed Zulkifli.

Meskipun konsisten sepanjang perlumbaan, Aisyah mengakui sukar melakukan pemecahan kali ini.

"Pesaing-pesaing memberikan tentangan yang hebat. Mengetahui kebolehan mereka, skuad Terengganu telah berusaha dengan baik memastikan kemenangan ini," kata Aisyah.

Sementara itu, jurulatih berbasikal lebuh raya Terengganu, Syed Mohamad Hussaini Syed Mazlan, menyambut baik saingan daripada negeri lain.

Beliau percaya saingan akan lebih sengit dalam temasya di Johor dua tahun lagi.

"Program yang diuruskan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara, penganjuran kejohanan semakin meningkat dan perkembangan akar umbi sukan basikal di setiap negeri meningkat," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video