SUKAN LAIN
Sukma: Afiqah tebus kekecewaan dua tahun lalu
Atlet angkat berat Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri, menebus kekecewaan dua tahun lalu selepas meraih pingat emas acara clean and jerk 48 kilogram dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2018, hari ini.
Ini merupakan penyertaan kedua Afiqah dalam Sukma selepas meraih pingat perak pada edisi 2016 di Sarawak.
Ketika itu, dia diatasi atlet Pulau Pinang, T. Logassree, dan kali ini, dia tampil dengan aksi lebih baik dengan angkatan seberat 81kg bagi meraih emas, hanya 1kg dibezakan dengan rekod peribadinya, iaitu 82kg.
Iklan
Selepas memberikan tentangan hebat, atlet Sabah, Nilcy Tunik, sekadar berpuas hati dengan pingat perak manakala gangsa dimenangi Siti Zaleha Yusop dari Pahang.
"Saya tidak menyangka dapat meraih kejayaan ini. Kehadiran ibu-bapa yang memberikan sokongan meningkatkan semangat saya," kata Afiqah.
Sementara itu, saingan snatch menyaksikan Siti Zaleha sukar dicabar untuk meraih emas dalam penampilan terakhirnya dalam Sukma.
Adik kepada bekas atlet angkat berat negara, Zakaria Yusop, itu melakukan angkatan 62kg pada percubaan kedua dan itu sudah memadai buat dirinya menduduki tempat pertama.
Pingat perak menjadi milik peserta tuan rumah, Nur Syafiqah Athirah, dengan catatan 61kg sementara Afiqah meraih gangsa.
"Snatch merupakan sasaran utama saya. Kemenangan ini menebus kekecewaan dua tahun lalu kerana terpaksa beraksi dalam kategori yang berbeza," kata Siti Zaleha.
Must-Watch Video