Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Zuraidi mahu siapkan skuad mantap

boling-padang.jpg
Pengendali skuad boling padang negara, Zuraidi Puteh, bertekad memastikan pemain negara tampil lebih ampuh di pentas Sukan SEA Filipina hujung tahun ini selepas hanya meraih dua pingat perak dan lima gangsa dalam Kejohanan Asia Pasifik di Gold Coast yang berakhir Jumaat lalu.

Biarpun gagal meraih emas, Zuraidi percaya barisan negara tetap di landasan tepat menjadi antara penyumbang pingat tertinggi buat kontinjen negara di Filipina nanti.

Dia akan menggunakan Kejohanan Terbuka Perseorangan Kebangsaan bermula Khamis ini bagi menilai dan memastikan prestasi barisan pemain negara yang akan ke Sukan SEA berada di tahap terbaik.

“Buat masa sekarang, masih ada pemain yang perlu menyesuaikan tempat dan posisi. Ia bukan hanya melibatkan tahap permainan tetapi keakraban antara mereka juga diambil kira,” katanya.

"Jurulatih akan pastikan mereka diberi tugasan penting bagi memantapkan skuad sebelum diletakkan dalam kategori masing-masing."

Skuad kebangsaan akan berlepas ke Filipina bulan depan bagi penyesuaian padang selain pemilihan akhir senarai atlet ke Sukan SEA yang akan diumumkan September depan.

“Kami akan ke sana sebanyak tiga fasa. Fasa pertama dijalankan pada bulan Julai, kedua pada September dan yang terakhir berlangsung dua minggu sebelum Sukan SEA. Kami juga akan menghadapi kejohanan perseorangan dua hari lagi bagi menilai pemain,” tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video