Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Skuad wushu tekad ulangi pencapaian 2001

wushu.jpg
Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sememangnya menjadi misi penting buat semua wakil negara, tidak terkecuali skuad wushu yang mengidamkan kejayaan manis 16 tahun lalu kembali berulang di bumi sendiri.

Kuala Lumpur 2001 dianggap sebagai pencapaian terbaik skuad wushu negara dalam temasya dwi-tahunan itu.

Meraih enam pingat emas daripada 22 pingat yang ditawarkan, wushu adalah antara penyumbang emas terbanyak untuk membantu kontinjen negara muncul juara keseluruhan.

Ketika itu, jaguh negara adalah Ho Ro Bin yang menyumbang dua pingat emas.

Bagaimanapun, 16 tahun kemudian, siapa sangka dia bakal kembali ke medan sama -- bezanya kali ini dia bakal turun selaku pengurus skuad wushu negara.

"Apabila kamu bertanding di luar negara, fokus utama kamu adalah untuk menang.

"Tetapi bertanding di tempat sendiri, fokus kamu akan terganggu. Jadi, inilah tugas saya, memastikan atlet negara mengekalkan fokus mereka," jelas Ro Bin.

Misi kali ini adalah untuk menebus kekecewaan dalam Sukan SEA Singapura dua tahun lalu apabila skuad wushu sekadar membawa pulang dua pingat emas.

Selepas dua kali berguru di Fuzhou, China untuk persediaan KL2017, skuad wushu negara membariskan atlet terbaiknya membabitkan juara dunia dan bekas pemenang emas Sukan SEA sebelum ini.

"Sebagai atlet Program Podium, kami perlu memiliki keyakinan dan percaya terhadap diri sendiri," jelas atlet wushu negara, Wong Weng Son.

Sementara itu, Diana Bong turut berharap dapat memperbaiki kutipan dua emas ketika edisi lalu di Singapura.

"Saya berharap tahun ini kami akan mendapat lebih banyak emas berbanding sebelum ini. Saya percaya kami mampu mencapai sasaran itu," katanya.

Dengan 17 pingat emas menjadi rebutan, skuad wushu negara membawa misi mengulangi kejayaan 2001 dalam temasya KL2017.
 

Advertisement

Must Watch Video