Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Skuad hoki ais harap dapat adakan aksi ujian di gelanggang rasmi

hoki-020517.jpg
Skuad hoki ais negara berharap dapat menggunakan gelanggang rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur di Empire City secepat mungkin kerana berdepan beberapa kekangan jika terus menggunakan IOI City Mall sebagai tempat latihan. 

Jurulatih skuad hoki ais negara, Kristof Kovago, mengakui corak latihan pemainnya kini hanya terhad kepada aspek teknikal ekoran faktor gelanggang yang tidak mengizinkan. 

Ini berikutan gelanggang di IOI City Mall hanya sesuai untuk acara luncur ais serta tidak sesuai diadakan sebarang perlawanan untuk acara hoki ais dalam temasya dwi-tahunan itu dari 19 hingga 30 Ogos nanti. 

Justeru, dia berharap mereka dapat segera berpindah ke Empire City yang dijangka siap pada pertengahan bulan ini.

"Kami dijangka mula berlatih sepenuh masa di sana pada 15 Mei ini.

"Pemain-pemain semakin berkembang dan perlu meningkatkan lagi prestasi. 

"Kami perlu mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan. 

"Sayangnya, perlawanan persahabatan ketika ini belum memadai," kata jurulatih dari Hungary itu.

Kovago berpengalaman menerajui pasukan di Afrika Selatan selama tujuh tahun dan Taiwan, lapan tahun. 

Mengenai perancangan pasukan, Kovago mendedahkan pemainnya akan ke Harbin, China, bulan depan sebelum mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab dari Taiwan di ibu negara. 

Dia melihat pendedahan ini penting memandangkan pemain negara masih kekurangan pengalaman di peringkat antarabangsa untuk menghadapi Sukan SEA.

"Kami kini dalam fasa ketiga persiapan (menghadapi Sukan SEA). 

"Kami akan ke China selama dua minggu dan kami dijangka turun beraksi dalam 10 perlawanan persahabatan. 

"Selepas itu, saya akan menjemput bekas kelab saya untuk perlawanan persahabatan. 

"Dengan itu, saya berharap kami dapat beraksi dalam 16 perlawanan dalam tempoh tiga bulan ini.

"Ini merupakan peluang terbaik untuk pemain-pemain meningkatkan tahap permainan mereka."

Advertisement

Must Watch Video