SUKAN LAIN
Sukan SEA: Skuad berbasikal lebuh raya gusar faktor keserasian
Skuad berbasikal lebuh raya negara menyuarakan kebimbangan untuk mencapai keserasian bersama Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi yang akan dipanggil mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang hanya berbaki tiga bulan sahaja lagi.
Fauzan akan dipanggil menyertai sesi latihan negara selepas menamatkan Kejohanan Pra-Sukan SEA.
Pakar pecut negara, Anuar Manan, berkata dia menyerahkan keputusan itu kepada jurulatih, Syed Mohammad Hussein Syed Mazlan, namun dalam masa yang sama melahirkan kegusaran berhubung kesuntukan masa buat Fauzan menyesuaikan diri.
Iklan
Fauzan adalah antara tonggak negara ketika Malaysia meraih dua pingat emas dalam edisi 2015 di Singapura.
"Untuk skuad lebuh raya, kami memang sudah serasi kerana sering digandingkan bersama dalam pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) dalam kejohanan.
"Memandangkan Fauzan tidak bersama pasukan TSG, mungkin dia memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan keserasian bersama pasukan," ujar pelumba kelahiran Terengganu itu.
Dalam perkembangan lain menjelang Kejohanan Pra-Sukan SEA hujung minggu ini, keutamaan pasukan adalah untuk menganalisis laluan pertandingan bagi menyesuaikan taktikal apabila temasya sebenar berlangsung Ogos depan.
Selain lebuh raya, dua lagi acara yang turut dipertandingkan dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA yang diadakan di Nilai, Negeri Sembilan, adalah ujian masa dan kriterium.
"Laluan itu walaupun tidak berbukit, ia bukan mudah kerana kita tidak tahu keadaan angin dan permukaan jalan -- sama ada berlubang atau tidak -- sebab itulah kami perlu mengujinya," kata seorang lagi pelumba lebuh raya negara, Zamri Salleh.
Must-Watch Video