Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Rayzam mahu rampas semula emas

sukansea-100517.jpg
Pemegang rekod baharu 110 meter berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian, tidak mahu memikirkan siapa yang bakal dihadapi dalam Sukan SEA, 19-30 Ogos nanti.

Sebaliknya, atlet Sabah berusia 29 tahun itu berazam mahu merampas semula pingat emas yang pernah dirangkulnya dalam temasya berkenaan, 10 tahun lalu.

"Di atas kertas, peluang untuk memenangi emas memang cerah, (mungkin) 90 peratus. Namun, saya tidak mahu terlalu memikirkannya atau siapa pesaing saya dalam Sukan SEA nanti.

"Saya cuma mahu fokus dengan larian saya dan memenangi semula pingat emas yang pernah saya menangi pada 2007," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, semalam.

Untuk rekod, Rayzam pernah memenangi pingat emas (catatan 13.91s) acara sama dalam Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand  ketika baru berusia 18 tahun.

Rayzam baru-baru ini, melakar rekod kebangsaan baharu dengan kepantasan 13.67s dalam Kejohanan Olahraga B&S Kurpfalz Gala 2017 di Weinheim, Jerman, dan kepantasan yang dicipta itu membolehkannya menjuarai aksi final B.

Rekod kebangsaan baharu itu memadamkan rekod lama berusia 23 tahun milik Nur Herman Majid (13.73s) yang dicipta ketika Sukan Asia di Hiroshima, Jepun pada 15 Oktober 1994.

Pencapaian berkenaan juga menyaksikan atlet itu berpeluang menggondol pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur kerana juara bertahan Sukan SEA, Jamras Rittidet (Thailand), sudah bersara.

Bagaimanapun, Rayzam berkata dia tetap akan memberikan yang terbaik walaupun tanpa kehadiran Jamras yang menafikan pingat emasnya dalam tiga edisi Sukan SEA lalu.

"Saya tidak mahu memikirkan sangat mengenai persaraan dia (Jamras) atau jika dia mahu beraksi semula. Jika pun dia masih mahu bersaing, saya bersedia untuk itu. Saya akan memberikan 120 peratus untuk menewaskan dia dan memenangi emas," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rayzam berkata dia akan turut berusaha untuk melayakkan diri beraksi dalam Kejohanan Olahraga Dunia IAAF 2017 di London, 4-13 Ogos depan.

Bagi membolehkan dia beraksi pada kejohanan berprestij itu, Rayzam perlu mencatatkan kepantasan 13.48s sebelum tarikh tutup kelayakan pada 23 Julai nanti.
 

Advertisement

Must Watch Video