Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Qabil yakin keserasian dengan kuda jadi penentu

qabil-ambak-100717.jpg
Keserasian yang baik bersama kuda menjadi sandaran utama atlet ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, dalam misi memburu pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

Kembali beraksi selepas enam tahun bersara, Qabil mengakui masih mencari keserasian dengan kuda yang bakal ditunggangnya dalam Sukan SEA nanti.

Qabil menerangkan kuda yang digunakan masih baru dan belum mencapai tahap tertinggi tetapi ia sudah memadai untuk bersaing di pentas temasya dwitahunan itu.

Bagi atlet berusia 37 tahun itu, dia bersama jurulatih, Lars Bak Anderson, sedang berusaha sebaik mungkin agar keserasian bersama kuda dapat dibentuk, sekaligus dapat menterjemahkan pingat.

"Setakat ini, kuda yang digunakan masih belum memenuhi tahap grand prix kerana kos yang mahal tetapi ia memadai untuk digunakan dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Qabil dipilih sebagai olahragawan terbaik ketika kali terakhir Sukan SEA dilangsungkan di Kuala Lumpur, 16 tahun lalu, dan ketika melakukan penampilan terakhirnya di Korat 2007, dia berjaya membawa pulang emas acara dressage, individu serta show jumping berpasukan, namun tidak menafikan saingan kini sudah semakin sengit. 

"Sukan ini semakin berkembang dalam sudah pasti ia menjadi lebih sengit.

"Ada negara yang mengambil pendekatan untuk berlatih di luar negara dan paling penting, mereka lebih mudah meraih tajaan berbanding di sini yang agak sukar," katanya.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video