Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA: Qabil akui terpaksa jalani latihan ekspres

qabil-ambak.jpg
Jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak, mahu kehadirannya dalam Sukan SEA kali ini mampu membuahkan hasil selepas 10 tahun bersara daripada arena sukan.

Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand, merupakan temasya terakhir Qabil sebelum mengambil keputusan bersara selepas meraih empat pingat emas dalam acara dressage dan show jumping individu serta berpasukan.

Kembali untuk beraksi di Kuala Lumpur, Qabil tidak berasa kekok memulakan kariernya bagi membantu negara meraih pingat emas sepertimana yang dilakukan 10 tahun lalu.

Atlet yang berpangkalan di Jerman ini telah memulakan latihan penuh sejak Oktober tahun lalu di bawah jurulatih, Lars Bak Anderson.

"Agak sukar sekarang kerana saya sudah berehat terlalu lama. Tetapi saya akan mencuba sebaik mungkin untuk mendapatkan kembali prestasi asal.

"Kuda juga mengambil masa untuk serasi dengan penunggang, jadi latihan dilalui boleh dikatakan agak ekspres," ujarnya.

Selepas Malaysia hanya meraih satu pingat emas dalam Sukan SEA Singapura menerusi R. Sharmini, Qabil positif sukan ini mampu menghadiahkan lebih daripada itu bagi membantu negara bergelar juara keseluruhan edisi ini.

"Kami menjangkakan saingan sengit daripada negara jiran tetapi sebagai negara tuan rumah, saya berharap ia akan membantu kami dalam meraih pingat emas," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video