Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: PSM kekal rahsia pemilihan acara

ahmad-ismail.jpg
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, kekal berahsia mengenai dua acara yang akan dipilih Malaysia dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Baginya, ia merupakan satu strategi sambil menyelar dakwaan sesetengah pihak bahawa PSM menunggu keputusan daripada Thailand sebelum membuat sebarang pilihan.

"Kami sudah menentukannya, cuma saya berasakan masih terlalu awal untuk mendedahkannya buat masa ini.

"Ia merupakan strategi.

"Jika kami mengumumkannya sekarang, satu dunia akan tahu dan ia akan mendatangkan kerugian.

"Biarlah kami merahsiakannya buat sementara waktu," katanya.

Ahmad sekeras-kerasnya menafikan dakwaan bahawa barisan pemain negara berasa gentar dengan skuad Negara Gajah Putih itu.

Skuad negara sudah memulakan latihan sejak awal tahun ini dengan mengekalkan corak latihan berteraskan ketenteraan serta kombinasi sains sukan.

"Jika Thailand tidak menyertainya, ia mungkin satu kelebihan.

"Namun, selama mana kita mahu mengharapkan kelebihan seperti itu?

"Saya rasa sudah tiba masanya untuk pemain kita membuktikan bahawa mereka setaraf dengan Thailand atau sesiapa sahaja.

"Sebab itu saya rasa mereka sudah memiliki sasaran, iaitu bukan sahaja membawa balik satu pingat emas tetapi mahu menewaskan Thailand," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video