Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Mun Yee harap skuad terjun negara lunas sasaran 13 pingat emas

20517munyee.jpg
Atlet terjun negara, Leong Mun Yee, telah mengharumkan negara di peringkat antarabangsa, termasuk dalam empat edisi Sukan Olimpik dan pada usia 32 tahun, dia bakal bersaing dalam Sukan SEA ke-11 buat dirinya.

Pada usia 13 tahun, atlet kelahiran Ipoh, Perak ini menyertai Sukan SEA pertamanya di Jakarta pada 1997, yang dilihat sebagai permulaan kejayaan yang diraih oleh Mun Yee.

"Sukan SEA pertama saya di Jakarta 1997, saya tidak meraih sebarang pingat tetapi pengalaman yang amat berharga sebagai corak kerjaya saya dalam sukan ini," katanya.

Empat tahun berikutnya, Malaysia menjadi penganjur Sukan SEA yang ke-21 dan Mun Yee berjaya meraih empat pingat emas dalam acara 3 meter papan anjal individu dan berpasukan serta 10 meter platform individu dan berpasukan.

"Beraksi di laman sendiri ternyata memberikan tekanan kepada saya untuk menghasilkan keputusan. Saya bertanding dalam empat acara dan berjaya meraih empat pingat emas dan ia merupakan satu kejayaan yang tidak akan saya lupakan.

"Sejak itu, saya telah menyertai 10 Sukan SEA dan telah meraih 15 pingat emas secara keseluruhan. Pada saya, setiap Sukan SEA amat bermakna buat saya," katanya.

Mun Yee berharap skuad terjun dapat melunaskan sasaran mereka untuk menyapu bersih 13 pingat emas dalam usaha membantu Malaysia muncul juara keseluruhan.

"Selepas 16 tahun, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah dan saya amat berbangga kerana sekali lagi menyertai kejohanan ini.

"Kami meletakkan sasaran untuk meraih 13 pingat emas dalam edisi kali ini dalam usaha membantu Malaysia menjuarai kejohanan secara keseluruhan."

Advertisement

Must Watch Video