Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA: Masa buru kelayakan kian suntuk

megat-zulkarnain-omardin_1.jpg
Masa kian suntuk buat atlet negara yang berhasrat untuk membuat penampilan dalam Sukan SEA Filipina, November depan apabila kontinjen Malaysia menetapkan tempoh sebulan sahaja lagi untuk mencapai syarat kelayakan masing-masing.

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus di Wisma MOM hari ini bersepakat dengan keputusan bahawa setiap nama atlet negara yang layak perlu dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 15 Ogos ini sebelum badan induk itu mengemukakan senarai berkenaan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) selewat-lewatnya 1 September depan.

Sebarang catatan atau rekod yang dikemukakan selepas tarikh itu tidak akan dilayan biarpun melepasi syarat kelayakan ke temasya berkenaan.

"Sebab itu kita minta 15 (Ogos) supaya boleh buat persediaan awal di peringkat sekretariat.

"Jika mereka hanya mencapai kriteria itu selepas 1 September, kami mungkin tiada masalah, namun ia tidak akan diterima PHISGOC kerana itu tarikh akhir," kata Chef-de-Mission (CDM) Sukan SEA Filipina, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Turut sama dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah rayuan atlet kategori B yang ingin diserap masuk ke dalam kategori A.

Hanya atlet dalam kategori A akan dibiayai sepenuhnya oleh MOM dalam temasya itu.

Namun, MOM menegaskan tiada pertukaran status akan dilakukan melainkan mereka mencapai kriteria yang ditetapkan dalam tempoh sebulan ini.

"Kalau tiada dalam kriteria kategori A, mereka tidak layak masuk dalam kategori A kerana kami sudah menetapkan kriteria itu perlu berada di tangga ketiga terbaik secara individu dan keempat terbaik untuk berpasukan.

"Jika tidak, kami tidak dapat menerima mereka dalam kategori A," kata setiausaha agungnya, Datuk Nazifuddin Najib.

Advertisement

Must Watch Video