Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Khairul Hafiz hampiri prestasi terbaik

27517khairulhafiz.jpg
Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, meletakkan dirinya ketika ini pada tahap 90 peratus bersedia dan yakin akan sampai ke kemuncak prestasi menjelang Sukan SEA, Ogos nanti.

Kali terakhir Khairul Hafiz turun ke balapan adalah dalam Kejohanan Terbuka Singapura, April lalu.

Dalam  Terbuka Selangor baru-baru ini, dia tidak mengambil bahagian untuk "simpan tenaga" bagi menghadapi Terbuka Thailand, 10 Jun nanti.

Sebelum itu, skuad pecut negara yang antaranya terdiri daripada Khairul Hafiz, Badrul Hisyam Abdul Manap serta Jonathan Nyepa akan menjalani kem latihan di Filipina.

Lantaran itu, Khairul Hafiz mahu memanfaatkan kem latihan ini untuk tampil lebih bertenaga dalam Terbuka Thailand nanti.

“Saya akan cuba berlatih dengan baik ketika di luar negara, mengambil pengalaman serta ilmu untuk meningkatkan prestasi saya. Saya berharap dapat melakukan yang terbaik dalam Terbuka Thailand nanti,” katanya.

Selain Terbuka Thailand, turut menanti skuad olahraga negara ialah Terbuka Malaysia dan juga Kejohanan Olahraga Asia 2017 di Bhubaneswar, India yang dijadualkan berlangsung pada Julai.

Khairul Hafiz, bagaimanapun, menegaskan tumpuannya hanya terarah kepada Sukan SEA dan penyertaannya dalam kejohanan lain shanya ebagai medan mengekalkan prestasi.

“Tumpuan utama saya adalah beraksi dalam Sukan SEA. Saya sedang berusaha untuk melakukan catatan masa terbaik saya.”

Advertisement

Must Watch Video