Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Ketiadaan Lalu cerahkan peluang atlet kebangsaan

lalu-muhammad-zohri_1.jpg
Peluang kembali terbuka buat pelari pecut negara mempertahankan pingat emas acara 100 meter lelaki  dalam Sukan SEA Filipina selepas jaguh Indonesia, Lalu Mohamad Zohri, dijangka menarik diri untuk fokus kepada kejohanan bertaraf tinggi.

Media negara jiran melaporkan Lalu dijangka tidak beraksi dalam Sukan SEA 2019 untuk meletakkan fokus kepada Liga Berlian, Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pelari berusia 19 tahun itu sepatutnya berehat pada November, iaitu sebulan selepas tamat Kejohanan Dunia di Doha, Qatar.

Situasi itu menghidupkan peluang pelari negara, terutama Khairul Hafiz Jantan, untuk mempertahankan emas selepas mencatat 10.38 saat ketika mencipta kejayaan dalam edisi lalu di Kuala Lumpur.

Catatan terbaik Lalu adalah 10.03 saat ketika meraih gangsa dalam Grand Prix Emas di Osaka, Jepun, Mei lalu sementara rekod kebangsaan 10.18s milik Khairul dilakukan pada 2016.

"Ia berita baik buat pelari pecut Malaysia agar kami dapat mempertahankan kejuaraan. Namun, bagi kami, sama ada Lalu beraksi atau tidak, keadaan tetap sama. Lebih baik kalau dia ada untuk memberi saingan dalam Sukan SEA nanti," ujar pelari kebangsaan, Nixson Kennedy.

Ketika ini, barisan pelari pecut negara menyertai Sukan Universiti Dunia yang sedang berlangsung di Itali sementara beberapa atlet seperti Mohd Haiqal Hanafi berlatih di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor.
 

Advertisement

Must Watch Video