Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA Kemboja: Sasaran pingat kontinjen negara diumum selepas Aidilfitri

sea-games-kemboja.jpg
Sasaran pingat emas kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Kemboja 2023 dijangka diumumkan selepas sambutan Aidilfitri hujung bulan ini.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali, berkata pihaknya masih belum menerima laporan prestasi atlet dan pasukan yang akan ke menyertai temasya dwitahunan di Phnom Penh itu.

Katanya, masih ada dalam kalangan atlet yang berada di luar negara, sama ada menyertai kejohanan atau menjalani latihan.

“Kami masih belum terima laporan tahap prestasi atlet untuk nilai potensi (peluang raih emas) mereka.

“Sebelum Syawal ini, akan diadakan mesyuarat bersama MSN (Majlis Sukan Negara) dan pengurus-pengurus pasukan untuk dapatkan maklum balas daripada mereka.

“Ramai yang ternanti-nanti tentang sasaran ini. Saya ingat selepas Aidilfitri, kami umum,” katanya.

Dalam temasya di Hanoi, Vietnam tahun lalu, Malaysia meraih 36 emas, 45 perak dan 90 gangsa, manakala bagi edisi 2019 di Manila, Filipina, Malaysia membawa pulang 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Menurut Mohd Nasir, ramai dalam kalangan atlet yang akan menggalas cabaran negara kali ini adalah mereka yang kali pertama beraksi di pentas antarabangsa.

“Mereka adalah atlet Sukma (Sukan Malaysia) yang masih muda berusia awal 20-an. Ini adalah pengalaman pertama dan mereka juga berpotensi (raih emas),” ujarnya.

Mengulas mengenai isu doping, dia memberitahu bahawa Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) melakukan ujian dari semasa ke semasa bagi memastikan semua atlet ‘bersih’ sebelum ke Kemboja.

Mohd Nasir berkata, siri ceramah dan kursus turut diadakan agar atlet mendapat gambaran jelas berhubung perkara berkenaan.

“Isu ini (doping) bergantung kepada diri sendiri... ia mudah sahaja. Jika berasa sangsi dengan ubat atau suplemen yang mahu diambil, rujuk kepada ISN (Institut Sukan Negara),” katanya lagi.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video