Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA: Kanu mungkin tarik diri

megat-shahriman.jpg
Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) mungkin menjadi persatuan ketiga negara yang menarik diri daripada menyertai Sukan SEA Filipina, November depan apabila bergelut untuk menyelesaikan beberapa isu dalaman membabitkan pucuk pimpinan persatuan.

Sehingga hari ini, MASCA gagal menyerahkan senarai nama atlet kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) biarpun tarikh tutupnya ialah 15 Ogos lalu.

Ia ekoran konflik dalaman yang membabitkan setiausaha agungnya, Mohd Sahib Rahmat Azli, yang secara tiba-tiba meletakkan jawatan hingga merencatkan proses pendaftaran atlet.

"Pengurusan daripada segi pengerusi disiplin perahu naga itu yang ada masalah daripada segi prosedur, masalah nama, ditambah dengan setiausaha saya letak jawatan, jadi ada kepincangan dalaman di sini.

"Mungkin atlet akan jadi mangsa tetapi sudah tentu bukan daripada sayalah," kata Presiden MASCA, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin.

Dalam masa sama, beliau menafikan kelewatan penyerahan senarai nama itu adalah disebabkan oleh masalah kewangan, sebagaimana yang dihadapi sukan jujitsu dan polo, yang terpaksa menarik diri daripada temasya dwitahunan itu.

MASCA kini mempunyai tempoh 10 hari sebelum MOM menyerahkan senarai penuh atlet kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), 1 September ini. 

"Perkara ini bukan bermula daripada saya, jadi sayapun susah nak merungkaikan di sini.

"Tetapi kami akan mencubalah.

"Kita cubalah dalam masa terdekat ini," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video