Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Johnathan fokus aspek mental hadapi jaguh Olimpik

johnathan-wong-130517.jpg
Atlet menembak negara, Johnathan Wong, menyifatkan saingan 10 meter air pistol di peringkat Asia Tenggara kini lebih sengit ekoran terdapat peningkatan dalam kalangan penembak negara serantau.

Johnathan sedar dia perlu berada di tahap terbaik jika mahu merebut pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, 19 hingga 30 Ogos depan.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Hong Xuan Vinh, pastinya turun sebagai pilihan utama dalam saingan itu.

Selain Xuan Vinh, Johnathan turut berwaspada dengan penembak Vietnam yang lain.

"Saya akan menyahut cabaran itu.

"Jika dilihat tahap atlet Asia Tenggara ketika ini, status kami bukan lagi di peringkat bawah.

"Bukan setakat peserta Asia Tenggara telah memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik, kita juga mempunyai empat Olimpian dalam acara 10m air pistol," katanya.

Atlet berusia 24 tahun itu berpuas hati dengan persiapan menghadapi Sukan SEA 2017 dan fokus utamanya adalah untuk memastikan tumpuannya tidak terjejas pada hari pertandingan.

Dia bertekad untuk memperbaiki kelemahan itu apabila  berlepas ke Korea Selatan, 17 Mei ini, bagi menjalani fasa latihan terakhir sebelum ke Sukan SEA.

"Saya berasakan perlu meningkatkan aspek tumpuan dan mental dalam pusingan akhir.

"Ia mustahak kerana dalam saingan akhir, peluangnya tinggi tetapi ia bergantung kepada persembahan kami.

"Justeru, amat penting untuk saya menguasainya."

Pengalaman bersaing dalam acara 10m air pistol dan 50m pistol di Rio 2016 juga dijangka menambah kematangan Johnathan untuk menghadapi cabaran dalam edisi kali ini.

Advertisement

Must Watch Video