Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Harapan Malaysia bukan sekadar kilauan pingat

zolkples-100517.jpg
Seratus hari menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia bukan sahaja berdepan keperluan memastikan perancangan bergelar juara berada di landasan tepat, malah dalam masa yang sama memacu agenda persiapan menjadi tuan rumah terbaik dalam sejarah penganjuran temasya ini.

Jawatankuasa Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) 2017 yang diterajui Datuk Seri Zolkples Embong, bagaimanapun, menggalas tugas berat bagi mengatasi apa yang dilakukan Singapura dalam edisi terdahulu apabila republik itu dicanang sebagai penganjur terbaik Sukan SEA setakat ini.

Apa yang membezakan misi ini dengan kejayaan Singapura hadir dalam bentuk peruntukan penganjuran.

Begitu juga aspek keperluan daripada atlet sehinggalah rakyat Malaysia untuk mempamerkan apa itu semangat, perwatakan dan budaya sebenar yang memacu negara ini.

"Pengelolaan pada kali ini harus mencapai dua matlamat utama.

"Yang pertama, menjadi juara keseluruhan di mana kali terakhir kita bergelar juara adalah pada 2001. 

"Jadi, ini bukanlah sesuatu yang baru kerana ini merupakan cabaran penting di saat kita akan meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-60.

"Yang kedua, kita mahu menjadi penganjur yang berjaya.

"Yang penting, kita perlu pastikan pengelolaan berjalan dengan lancar, tiada perkara yang berbangkit.

"Kita tidak meletakkan acara-acara yang memberikan kelebihan (kita sebagai tuan rumah)," katanya.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan Sukan SEA adalah pada 2001 dan tempoh 16 tahun adalah waktu yang terlalu panjang.

Senario ini membangkitkan keterujaan Malaysia sebagai sebuah negara sukan biarpun aspirasi sebenar adalah pemburuan emas sulung Olimpik.

"Kami mahukan bukan sahaja atlet negara kita, bahkan atlet dari rantau Asia Tenggara, untuk memberikan yang terbaik.

"Kita mahu atlet melakukan catatan peribadi terbaik, rekod Sukan SEA ataupun catatan yang lebih tinggi.

"Alangkah hebatnya kalau Joseph Schooling (atlet renang Singapura) mengambil bahagian dalam Sukan SEA dan memecah rekod dunia.

"Sudah tentu orang akan memandang Sukan SEA boleh melahirkan atlet-atlet yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi."

Menuju bulan Ogos, MASOC memberi jaminan Malaysia akan mula berasa bahang kedatangan Sukan SEA.

Kerja-kerja mempromosi secara berperingkat menjadi strategi MASOC di sebalik bisikan suam-suam kuku Kuala Lumpur dalam menerima kehadiran temasya dwi-tahunan ini.

"Kita di Malaysia ini, kalau melakukan sesuatu itu lebih awal, mungkin kita akan lupa sehingga terpaksa mewujudkannya semula.

"Aspek ini dalam perancangan kita dan akan berterusan.

"Mungkin selepas Hari Raya nanti, kami akan bergerak dengan lebih agresif lagi."

Seratus hari menjelang Sukan SEA, kontinjen Malaysia turun dengan misi wajib muncul juara keseluruhan, MASOC pula mendukung maruah sebuah negara demi membentuk legasi baru untuk generasi akan datang.

Advertisement

Must Watch Video