SUKAN SEA
Sukan SEA Hanoi: Skuad ping pong lelaki terlepas pingat emas
Skuad ping pong lelaki negara terlepas peluang untuk menamatkan penantian pingat emas sejak sekian lama apabila tewas 1-3 kepada Thailand dalam acara berpasukan lelaki di Gimnasium Hai Duong sebentar tadi.
Selepas sekian lama tidak menggenggam pingat emas acara itu, Malaysia memperoleh peluang terbaik apabila layak ke final selepas menewaskan pasukan tuan rumah, Vietnam, 3-1 dalam separuh akhir semalam.
Pemain utama, Leong Chee Feng, menerbitkan harapan buat peminat sukan negara apabila menewaskan Phakpoom Sanguansin 3-1 untuk memberikan mata pertama Malaysia.
Iklan
Bagaimanapun, pemain kedua, Wong Qi Shen, tidak dapat meneruskan momentum itu apabila tewas 0-3 kepada Padasak Tanviriyavechakul untuk Thailand mengikat kedudukan.
Wakil ketiga negara, Javen Choong, turut mengalami nasib sama apabila kerap terpedaya dengan pukulan licik Sarayut Tancharoen sebelum tewas 0-3.
Chee Feng kembali diturunkan dalam perlawanan keempat, kali ini dengan menentang Padasak dan dia kembali menerbitkan harapan apabila kedudukan terikat 2-2 dalam perlawanan itu serta mendahului 10-7 dalam set terakhir.
Bagaimanapun, dia tidak dapat menahan tekanan pada penghujung pemainan sebelum akur tewas 14-12 dalam set berkenaan untuk membenarkan Thailand memperoleh pingat emas hasil kemenangan 3-1.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke final acara berpasukan lelaki adalah pada tahun 1993.
Detik-detik cemas di saat penentuan pingat emas diantara Malaysia menentang Thailand #semarakjuara #sokongmalaysia #sukansea2021 #seagames2021 pic.twitter.com/6S4cQmHgI0— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) May 15, 2022
Must-Watch Video