Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA Hanoi: Menteri sambut baik inisiatif CDM, persatuan beri ganjaran buat atlet

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

faizal-azumu.jpg
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menyambut baik inisiatif Chef-de-mission (CDM), Datuk Nur Azmi Ahmad, dan persatuan sukan kebangsaan untuk memberikan ganjaran peribadi buat atlet yang meraih pingat emas dalam Sukan SEA Hanoi bulan depan.

Ahmad Faizal, bagaimanapun, menjelaskan bahawa insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kekal berjumlah RM20,000 buat pemenang pingat emas dalam temasya itu.

Sebelum ini, Nur Azmi mengumumkan bahawa dia akan mengeluarkan ganjaran peribadi bagi menyemarakkan semangat atlet yang akan bersaing di Vietnam.

Namun, bentuk dan jumlah ganjaran itu masih belum didedahkan.

Selain itu, Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) turut bersedia untuk memberikan ganjaran khas buat atlet mereka yang berjaya meraih pingat emas sulung sukan tersebut.

Usaha itu disambut baik Ahmad Faizal dengan berkata: "Apabila atlet membawa kejayaan yang mengharumkan nama persatuan, sudah tentu mereka juga akan memberikan ganjaran tersendiri tetapi bagi pihak kerajaan, kami kekal dengan kadar sedia ada melalui ganjaran SHAKAM."

Kontinjen negara menyasarkan 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa dalam Sukan SEA Hanoi bermula 12 Mei ini.

Advertisement

Must Watch Video