Skip to main content

Sukan SEA

Sukan SEA: Elavarasan mahu pilih barisan terbaik ke Kemboja

elavarasan.jpg
Menjelang Sukan SEA Kemboja, ketua jurulatih skuad bola sepak B22 negara, E. Elavarasan, mahu memanfaatkan fasa kedua kem latihan pusat ketika ini, untuk menilai tahap prestasi pemain sebelum mengumumkan senarai akhir skuad yang akan menggalas cabaran Malaysia di Sukan SEA Kemboja.

Elavarasan percaya 25 pemain yang dipanggil ketika ini adalah barisan pemain yang terbaik.

Berbaki tiga hari sebelum berlepas ke Kemboja, tugas berat sudah semestinya menanti Elavarasan serta barisan kejurulatihannya bagi memilih 20 pemain terakhir untuk temasya dwitahunan berkenaan.

Namun apa yang melegakan pengendali berusia 61 tahun itu ialah motivasi dan moral anak buahnya ketika ini berada pada tahap terbaik dengan menyaksikan setiap pemain mempamerkan kesungguhan ketika sesi latihan dijalankan.

Skuad muda negara dalam misi getir di Sukan SEA Kemboja kali ini untuk cuba menamatkan kemarau pingat emas dalam acara bola sepak selepas kali terakhir melakukannya ialah pada edisi 2011 di Indonesia.

"Ini merupakan hari pertama kami mengumpul pemain dan terdapat beberapa daripada mereka dalam proses pemulihan selepas menempuhi saingan Liga Super," kata Elavarasan.

"Kami akan menjalani latihan sebelum berangkat ke Kemboja."

Dalam perkembangan sama, tonggak pertahanan, Safwan Mazlan, tekad untuk bersaing merebut slot ke Sukan SEA edisi ke-32 kali ini.

Meskipun menyedari tidak mudah, Safwan percaya dengan keupayaannya dia mampu untuk menambat hati pengendali, E. Elavarasan.

Untuk rekod, Safwan merupakan antara tonggak skuad negara di Sukan SEA Vietnam tahun lalu yang menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di peringkat separuh akhir.

"Persaingan di Sukan SEA kali ini amat mencabar kerana bakal berdepan lawan yang sukar. Jika terpilih untuk beraksi di Sukan SEA, saya akan cuba memberikan yang terbaik," kata Safwan.
 

Advertisement

Must Watch Video