Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Detik 100 hari fasa akhir persiapan atlet

sukansea-100517.jpg
"Fokus terhadap program latihan atlet." Itu pandangan pemerhati sukan negara, termasuk bekas Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, kerana tempoh 100 hari ini penting dalam menentukan peluang Malaysia untuk muncul juara keseluruhan.

"Dua aspek penting dalam Sukan SEA ini sebagaimana temasya yang lain, iaitu atlet dan penganjuran.

"Atlet sepatutnya sudah bersedia, merancang dan menunggu masa," katanya.

Berdasarkan program latihan atlet, tempoh 100 hari amat penting dalam menentukan warna pingat dalam temasya itu nanti.

Dalam tempoh ini, biasanya atlet akan memasuki fasa menyertai kejohanan dan secara tidak langsung menjadi pemanas badan terbaik menjelang Sukan SEA.

Justeru, MSN dan persatuan sukan kebangsaan perlu memberi tumpuan terhadap persiapan kontinjen negara.

"Atlet dan jurulatih sewajarnya sudah berada dalam keadaan bersedia untuk mencapai kemuncak prestasi dalam Sukan SEA nanti.

"Jadi, dalam jangka masa tiga bulan ini, atlet perlu menghindari kecederaan," kata pemerhati sukan negara, Dr Mohamad Faithal Hassan.

Beberapa persatuan sukan berjaya menganjurkan kejohanan pra-Sukan SEA seperti menembak, pelayaran dan silat.

Begitupun, sebahagian besar lagi gagal mengikut langkah yang sama, sama ada kerana masalah venue pertandingan atau jadual yang padat.

"Semakin dekat dengan Sukan SEA, debarannya semakin dirasai kerana sebagai tuan rumah, kami mahu melakukan yang terbaik dengan meningkatkan prestasi serta memperbaiki kelemahan yang ada.

"Jadi, dalam Sukan SEA nanti, atlet sudah bersedia," kata pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy.

Pelari pecut negara, Johnathan Nyepa, pula berkata semua persiapan skuad olahraga berjalan dengan lancar.

"Semuanya OK, cuma menjelang 100 hari lagi menghadapi Sukan SEA, kami berasa cemas," katanya.

Pasukan gimnastik pula akan Thailand, Ahad ini, untuk menyertai kejohanan terakhir pra-Sukan SEA.

"Sesi latihan berjalan dengan baik sekali.

"Selepas balik dari Thailand nanti, kami akan menjalani satu lagi kem latihan sebelum menghadapi Sukan SEA," ujar gimnas negara, Farah Ann Abd Hadi.

Advertisement

Must Watch Video