Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Atlet kini tumpu persiapan mental

sukan-sea-kem-akhir-040817.jpg
"Persediaan fizikal sudah selesai, yang tinggal hanya mental." Demikian yang ditekankan  kontinjen negara apabila selesai melaporkan diri dalam perhimpunan akhir atlet Sukan SEA, bermula hari ini hingga 10 Ogos. 

Seramai 700 atlet telah pun melaporkan diri di Hotel Renaissance Kuala Lumpur, hari ini, yang menjadi penginapan rasmi mereka sempena Sukan SEA Ke-29. 

Bagaimanapun, beberapa jenis sukan dikecualikan kerana terlibat dengan kejohanan dan latihan di luar negara, iaitu skuad ekuestrian, polo, muay thai dan terjun.

Skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22) negara hanya akan menghadiri Majlis Penyerahan Bendera di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 10 Ogos nanti. 

Secara keseluruhan, seramai 1,039 individu, termasuk 162 jurulatih, pengurus pasukan dan anggota urusetia kontinjen melakukan persiapan terakhir sebelum temasya dwitahunan ini membuka tirai pada 19 Ogos. 

Ini merupakan fasa kemuncak untuk mereka selama tujuh hari bagi memastikan segala motivasi dan semangat berpasukan dapat diserap dalam diri atlet. 

Berbaki lebih kurang dua minggu sahaja lagi, pastinya hanya psikologi atlet perlu di tahap terbaik untuk membiasakan diri dengan keadaan sebenar temasya itu.

Pada hari pertama perhimpunan, barisan atlet telah diberi taklimat oleh chef-de-mission (CDM) Sukan SEA negara, Datuk Marina Chin, disusuli taklimat daripada Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail. 

"Apa yang saya ingin terapkan, atlet perlu bersedia menerima apa jua situasi yang berlaku tetapi jangan hilang fokus. 

"Ini bermaksud, mereka ada tugasan serta sudah bersiap dari segi fizikal dan mental. 

"Atlet harus belajar bahawa mereka tidak boleh membenarkan apa yang berlaku di sekeliling membuatkan mereka hilang fokus," katanya. 

Menurut pesilat lelaki Kelas Putra E (65-70kg) negara, Mohd Al Jufferi Jamari: "Venue pertandingan sangat dekat, iaitu hanya di belakang penginapan kami sahaja.

"Terlebih dahulu, adalah penting untuk kami cuba mendapatkan situasi selesa dengan perjalanan dari hotel ke venue pertandingan."

Perhimpunan akhir ini turut disertai skuad sepak takraw negara, yang dialu-alukan ketua pasukannya, Mohd Syahir Rosdi: "Kami mengambil peluang ini untuk berkumpul sebagai satu kontinjen, tidak kira dalam apa jua jenis sukan sekalipun.

"Kami dapat berkumpul bersama untuk mengeratkan hubungan antara kami."

"Tujuan program ini membolehkan kami mengenali wakil-wakil dalam pelbagai jenis sukan. 

"Ia juga langkah untuk menyemai semangat perpaduan dalam usaha kita untuk muncul sebagai juara keseluruhan.

"Program ini juga sama sekali tidak mengganggu latihan yang telah kami aturkan," kata jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen. 

Advertisement

Must Watch Video