Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Atlet digesa patuhi perintah berkurung -- Marina

datuk-marina-chin.jpg
Beberapa hari sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dibuka secara rasmi 19 Ogos ini, kontinjen Malaysia digemparkan dengan berita seorang atlet negara dikenakan tindakan disiplin gara-gara kesalahan melanggar arahan waktu berkurung.

Seramai 700 atlet mula melaporkan diri di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur, Jumaat lalu, yang menjadi penginapan rasmi mereka sepanjang Sukan SEA Ke-29.

Sepanjang berada di hotel berkenaan, atlet negara perlu mematuhi waktu berkurung -- perlu berada dalam bilik masing-masing selewat-lewatnya jam 11.30 malam -- atau tindakan tegas akan diambil.

Bagaimanapun, difahamkan seorang atlet futsal wanita negara telah melakukan kesalahan, sekaligus digugurkan daripada pasukannya ketika berada dalam kem latihan.

Nadi Arena sempat menemu bual chef-de-mission, Datuk Marina Chin, bagi mendapatkan reaksinya.

"Saya belum dimaklumkan secara rasmi, jadi saya tidak boleh mengulas lanjut. Saya sendiri telah maklumkan kepada atlet bahawa wajib untuk mematuhi peraturan berkurung tersebut," jelasnya.

Sementara itu, jurulatih futsal wanita negara, Muizzuddin Harris, mengakui telah menggugurkan dua pemainnya ketika kem latihan pusat fasa akhir.

Penjaga gol, Niena Azman dan kapten, Farahiyah Ridzuan, masing-masing telah digugurkan. 

Tatkala Farahiyah digugurkan kerana kecederaan, Niena pula disingkirkan atas faktor prestasi.

Ironinya, Niena digugurkan dua hari selepas menyertai kem kontinjen negara di hotel penginapan.

"Buat masa ini, memang semua pemain saya tiada terlibat dengan masalah pemain. Saya menamakan 14 pemain berdasarkan prestasi semata-mata," ujar Muizzuddin.

Usaha Nadi Arena bagi mendapatkan penjelasan Niena tidak kesampaian apabila dia enggan memberi reaksi lanjut.

Keputusan menggugurkan kedua-dua pemain itu menyaksikan Muizzuddin sudah melengkapkan senarai 14 pemain ke KL2017.
 

Advertisement

Must Watch Video