Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Al-Jufferi waspada ancaman untuk pertahan emas

mohd-al-jufferi-jamari-140717.jpg
"Dia sudah lama ingin menewaskan saya," demikian kata pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari, terhadap seteru lamanya dari Indonesia, Komang Harik Adi Putra, yang pasti sudah mempunyai strategi sendiri dalam misi menundukkan prospek pingat emas Malaysia itu di pentas Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan. 

Komang, yang pernah ditewaskan Jufferi dalam separuh akhir Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, tahun lalu, sudah lama menyimpan misi menewaskan juara Sukan SEA tiga kali itu. 

Al-Jufferi tidak menganggap dirinya berada dalam zon selesa dalam memburu emas keempat kerana pesilat dari negara lain, khususnya Indonesia, Thailand dan Vietnam, semakin menunjukkan taring untuk menafikan misi juara dunia itu di Kuala Lumpur. 

Dia sedar hasrat mengekalkan kejuaraan bukan sesuatu yang mudah apabila sering menjadi sasaran utama pesaing dalam temasya yang akan bermula 36 hari lagi itu. 

"Semua pencabar-pencabar saya adalah hebat. 

"Peserta Vietnam, Indonesia dan Thailand antara yang mampu menghalang hajat saya. 

"Apapun, saya tidak tertekan dengan harapan yang digalas kerana kepercayaan yang diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan PESAKA (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia) membuatkan saya lebih berazam untuk mempertahankan emas," ujar Al-Jufferi. 

Pesilat wanita Kelas E Putri negara, Siti Rahmah Md Nasir, yang menjalani latihan di Vietnam mengakui perancangan PESAKA amat tepat meskipun terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri di tanah air. 

"Ia membolehkan kami lebih fokus terhadap latihan. 

"Kalau kami menyambut Hari Raya di tanah air, kemungkinan momentum kami boleh hilang. 

"Langkah ini bagus untuk kami lebih bersedia," katanya. 


 

Advertisement

Must Watch Video