Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA 2019: Keen Ho bawa diri ke China

moh-keen-ho.jpg
Skuad snuker dan billiards negara menerima tamparan menjelang Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan apabila jaguh utama, Moh Keen Ho, mengambil keputusan untuk berhijrah ke China kerana kecewa dengan sistem kebajikan atlet di negara ini.

Dia mengharumkan nama negara dengan menjuarai Terbuka Australia, Oktober lalu dan masih merupakan wakil terbaik negara apabila pernah berada dalam kelompok 100 pemain terbaik dunia.

Keen Ho dijadual berlepas ke China, bulan depan untuk memulakan hidup baru.

Bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 itu terpaksa mengambil keputusan drastik selepas tidak menerima elaun latihan atlet sejak 2017 walaupun turut menyumbang gangsa dalam temasya Kuala Lumpur 2017. 

Dia yang perlu menanggung isteri dan seorang anak mengambil keputusan berhijrah ke China bagi menyertai siri jelajah negara itu yang menawarkan ganjaran setiap minggu.

"Saya perlu teruskan hidup dan kalau tiada sumber pendapatan, saya tidak dapat meneruskan perjuangan ini.

"Jadi, saya perlu cari jalan lain. Ketika ini, saya sudah berkecimpung dalam acara lapan bola di China sejak Januari lalu. 

"Saya mendapat penajaan dari Malaysia dan selepas memberikan persembahan yang agak baik di China, penaja di negara sana pula menyatakan minat.

"Ketika ini, saya tidak dapat memikirkan soal Sukan SEA Filipina kerana perlu memberi fokus kepada perjuangan di China yang telah memberikan saya kehidupan baru," katanya. 


 

Advertisement

Must Watch Video