SUKAN LAIN
Sukan SEA 2019: Jurulatih diingat usah kendurkan semangat atlet
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, membidas jurulatih pecut negara, Mohd Puad Md Kassim, agar sedia untuk melepaskan raja pecut, Khairul Hafiz Jantan, kepada jurulatih baru sambil tidak gentar untuk mempertahankan emas 100 meter dalam Sukan SEA Flipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.
Puad sebelum ini mengangkat bendera putih dengan mengakui kehebatan pelari sensasi Indonesia, Lalu Mohd Zohri Lalu Ahmad Yani, yang mencatat 10.03 saat dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Osaka, 19 Mei lalu.
Ia jauh mengatasi catatan terbaik Hafiz, 10.18s, yang sebelum ini hanya 0.1 saat untuk mencabar gelaran pelari terpantas Asia Tenggara, Suryo Agung Wibowo, yang melakar 10.17s dalam Sukan SEA Laos 2009.
Iklan
Karim menjelaskan kenyataan itu hanya akan melemahkan Khairul Hafiz, apatah lagi dia baru sahaja pulih daripada kecederaan hamstring.
"Kenyataan Poad yang sudah menyerah kalah dalam misi mempertahankan emas Sukan SEA adalah satu langkah yang tidak baik daripada jurulatih.
"Dia menjatuhkan semangat atlet yang di bawah bimbingannya," kata Karim.
KOM juga mendapat perkhabaran gembira apabila cadangan mereka untuk membawa masuk jurulatih asing, Dwayne Millers, ke ibu negara dipersetujui Majlis Sukan Negara (MSN) dan kini di peringkat perbincangan kontrak dengan jurulatih berasal dari Amerika Syarikat itu.
Jika Millers dibawa masuk, dia akan menjadi ketua jurulatih dan akan merangka semula program atlet pecut kebangsaan sambil dibantu tiga jurulatih tempatan yang terdiri daripada Poad, M. Balamurugan dan Ithnin Mahadi.
"Atlet bukan milik jurulatih, saya sendiri mahupun MSN.
"Atlet adalah milik negara.
"Atlet mempunyai potensi dan kita harus fikirkan aspek itu," katanya.
Must-Watch Video