SUKAN LAIN
Sukan SEA 2019: Izzati dipujuk keluar persaraan
Ketua jurulatih skuad bola keranjang wanita, Yong Sze Yuin, masih memujuk bekas kapten pasukan, Nur Izzati Yaakob, untuk kembali ke pangkuan kem kebangsaan memandangkan skuad negara diletakkan sasaran utama untuk meraih pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.
Izzati sebelum ini mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan bersama-sama empat lagi pemain, iaitu Ng Shi Yin, Ooi Poh Yee, Chong Yin Yin dan Pang Hui Pin sejak awal tahun ini.
Ia situasi sukar buat Sze Yuin yang dalam usaha mempertahankan emas seperti yang disasarkan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dalam temasya Filipina 2019.
Iklan
Sze Yuin masih mahu memberi ruang buat Izzati untuk mengubah fikiran sehingga saingan Liga Bola Keranjang Kebangsaan bermula bulan depan memandangkan jurulatih itu hanya mempunyai tempoh sehingga Ogos depan untuk menyenaraikan pemain yang akan menggalas cabaran dalam temasya dwitahunan itu.
"Izzati menanggung kecederaan yang agak serius dengan sebelah kakinya memerlukan dua pembedahan, maka ini bermakna kedua-dua belah kakinya sudah dibedah empat kali.
"Tetapi kalau dia memiliki keinginan untuk kembali mewakili negara, sudah pasti saya akan mengalu-alukannya," kata Sze Yuin.
Dalam masa yang sama, MABA turut menyediakan pelan latihan yang rapi dalam usaha membantu skuad lelaki menamatkan penantian 12 tahun kemarau sebarang pingat di pentas Sukan SEA.
Malaysia turut akan bertanding dalam acara baru, iaitu saingan bola keranjang tiga lawan tiga tetapi tidak meletakkan sasaran tinggi.
"Ia satu acara baru dengan kami masih menguji gelanggangnya.
"Sudah tentu kami ingin memenangi medal tetapi ia bukan satu kenyataan yang kukuh.
"Kami anggap kejayaan meraih medal sebagai bonus," ujar Timbalan Setiausaha Agung MABA, Sim Sin Heng.
Must-Watch Video