Persaingan untuk ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 makin sengit apabila empat atlet lompat tinggi negara sudah pun melepasi had kelayakan.
Persaingan kini lebih tertumpu kepada atlet senior, Lee Hup Wei, dan atlet pelapis, Norshafiee Mohd Shah.
Selain Hup Wei dan Norshafiee, dua lagi atlet lompat tinggi negara yang sudah pun melepasi had kelayakan sukan dwi-tahunan itu adalah Nauraj Singh Randhawa dan seorang lagi atlet pelapis, K. Prakash.
Had kelayakan yang perlu dilepasi oleh setiap atlet adalah 2.11 meter sementara hanya dua slot ditawarkan.
Hup Wei yang melakukan lompatan 2.22m dalam Terbuka Filipina, April lalu, belum boleh menarik nafas lega kerana kedudukan itu boleh dicabar oleh Norshafiee.
"Untuk melayakkan diri memang senang. Ketika ini, ada empat calon yang layak tapi hanya dua orang akan terpilih.
"Ranking ketinggian lompatan kami juga akan diambil kira," katanya.
Norshafiee mempunyai catatan peribadi terbaik, iaitu 2.16m, yang dilakar ketika Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Vietnam, Julai lalu.
Meskipun kedua-dua atlet itu di bawah kendalian jurulatih yang sama, Aleksander Gasparyan, Shafiee memasang strategi sendiri untuk merebut slot ke temasya itu tahun hadapan.
Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada Mac tahun hadapan menjadi medan terakhir untuk mereka mengesahkan tempat ke Sukan SEA Kuala Lumpur.
"Dalam latihan, saya menghormatinya dan dia (Hup Wei) berpesan kepada saya agar berjuang habis-habis semasa dalam kejohanan.
"Untuk itu, saya akan memastikan aksi terbaik untuk beraksi dalam Sukan SEA."
Shaiful Shamsudin
Mon Nov 21 2016