Jaguh lontar peluru para negara, Ziyad Zolkefli, percaya Kejohanan Para Dunia di Kobe, Jepun, yang akan bermula Jumaat ini menjadi medan persiapan terbaiknya sebelum Sukan Paralimpik membuka tirai.

Baginya, misi utama adalah untuk mengulangi kejayaan meraih pingat emas yang dimenanginya ketika cemerlang di Rio 2016.

Dua kejohanan terbesar ini bakal menjadi kayu pengukur untuk prestasi terkininya setelah lebih sedekad bergelar jaguh lontar peluru negara.

"Ini dua kejohanan besar yang akan disertai peserta handalan.

"Dua kejohanan ini paling ditunggu-tunggu setiap atlet," katanya di Nadi Arena.

Sedar bahawa saingan bakal lebih sengit dengan pencabar baru -- Ziyad tetap percaya kemampuan dan kerja kerasnya bakal membuahkan hasil yang manis dalam mencapai sasarannya.

"Saya berazam mengekalkan prestasi di tahap terbaik, untuk menjadi atlet terbaik.

"Mungkin Allah nak beri saya kekuatan luar biasa pada hari pertandingan.

"Apa pun, saya sentiasa cuba terbaik sambil berusaha memecah rekod dunia," katanya.