Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menolak keputusan Presiden Jawatankuasa Paralimpik Filipina, Michael Barredo, untuk menganjurkan Sukan Para ASEAN 2020 dalam 26 Mei depan.
temasya dwitahunan itu yang sepatutnya berlangsung 18 Januari lalu ditunda ke Jumaat depan namun terpaksa ditunda buat kali ketiga ekoran penularan wabak koronavirus baru (covid-19).
Menurut Presiden MPM, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, keputusan itu ditolak hasil sebulat suara selepas tuan rumah tidak melalui mesyuarat ahli majlis dan secara tidak langsung gagal mendapat persetujuan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF).
Filipina mengumumkan tarikh baru itu dalam Majlis Penyerahan Bendera di Manila pada 3 Mac lalu yang menyaksikan atlet renang para mereka, Ernie Gawilan, dipilih sebagai pembawa bendera.
"Saya tidak bersetuju. Tarikh itu bersamaan dengan sambutan Hari Raya.
"Banyak perancangan telah dibuat oleh persatuan dan atlet.
"Ia tidak adil buat mereka (atlet) kerana mereka (APSF) juga tidak menghantar notis (penundaan) dua atau tiga bulan (lebih awal).
"Inilah isu yang kami nak tekankan dan maklumkan APSF. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku," katanya dalam sidang akhbar.
Bagaimanapun, APSF akan mengadakan perbincangan menerusi video bersama ahli majlis daripada negara lain Isnin depan untuk menentukan keputusan bersama.
Shaiful Shamsudin
Wed Mar 11 2020