Dua atlet di bawah naungan pasukan papan selaju profesional The Razkals, Muhammad Mer Nullah Khan, 13, dan Mahathir Nor Daniel, 14, bakal ke Tokyo bagi menyahut cabaran Kejohanan Dunia Street, Jelajah Skateboarding Dunia (WST).

Momo Khan dan Mahathir bakal mendapat pendedahan awal bagi dalam menghadapi kejohanan bertaraf dunia selain layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pengurus The Razkals, Shahrizul Ikwan Hussain, teruja dapat memulakan program pendedahan ini lebih awal agar dua bintang dalam pembikinan ini bersedia untuk menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi pada masa hadapan.

“Pendedahan awal di Tokyo ini sangat penting kerana ramai jaguh sukan papan selaju yang sudah menjadi juara di kejohanan ternama dunia adalah dari Jepun pada usia yang sangat muda,” jelas Shahrizul.

“Kami mahu Momo dan Mahathir menimba pengalaman berkongsi gelanggang dengan yang terbaik di dunia dan melihat sendiri bagaimana latihan serta cara permainan atlet-atlet profesional dari seluruh dunia di hadapan mata mereka sendiri.




“Pergaulan dan latihan bersama-sama dengan atlet di sini diharap dapat membuka mata mereka dan memberi idea apa yang mereka boleh lakukan untuk menjadi seorang skater terbaik dunia.”

The Razkals dan MySKATE juga bersetuju untuk mewujudkan kerjasama di masa hadapan termasuk membangunkan sebuah master plan untuk memastikan Malaysia mempunyai atlet yang layak untuk mewakili negara dalam sukan papan selaju di Olimpik Los Angeles 2028.

Jelajah dunia di Tokyo ini juga bakal disertai atlet tuan rumah, Yuto Horigome yang juga merupakan pemenang emas Olimpik papan selaju yang pertama kali diadakan pada Tokyo 2020.

Gelaran jaguh dunia bakal menjadi rebutan di medan Kejohanan Dunia Street Tokyo WST yang diadakan di Ariake Urban Sports Park, Tokyo dari 10-17 Disember bagi mengutip mata kelayakan untuk Olimpik Paris 2024.