Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Olimpik Belia: Malaysia sasar satu pingat emas

yog.jpg
Malaysia menyasarkan pencapaian lebih baik dalam penyertaan Sukan Olimpik Belia 2018 dengan sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat emas. 

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, bagaimanapun tidak mendedahkan sasaran itu diletakkan kepada mana-mana atlet tertentu. 

“Saya yakin atlet yang mengambil bahagian kali ini mampu membawa pulang pingat emas pertama negara. Cuma siapa yang akan bawa pulangnya, saya tidak pasti. 

“Saya tidak mahu mereka berasa tertekan jika diletakkan sasaran spesifik. Saya hanya mahu mereka merasai pengalaman bertanding dalam temasya yang seakan-akan Sukan Olimpik sebenar,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang oleh Kedutaan Argentina, malam ini. 

Pemain badminton wanita negara, Goh Jin Wei, dipilih sebagai pemegang Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Belia 2018 di Beunos Aires, Argentina yang dijadual berlangsung 6-18 Oktober ini. 

Bekas juara dunia remaja 2015 itu secara peribadinya menyasarkan pingat emas dalam penyertaan pertamanya itu. 

Atlet muda berusia 18 tahun itu ternyata tidak gentar dan berkeyakinan meletakkan sasaran tinggi berdasarkan prestasi semasanya. 

“Saya tidak pernah beraksi menentang kebanyakan pemain yang bakal bertanding nanti tapi saya yakin mampu memberikan kemenangan kepada negara. Lagipun, saya nekad untuk menjadi juara di sana nanti. 

“Kemenangan di Argentina nanti mampu memberi semangat kepada saya mahupun pemain badminton muda lain untuk berusaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik kemudian,” katanya.

Bagaimanapun, Jin Wei tidak mahu mengambil mudah lawannya dan akan membuat analisis video mengenai corak permainan mereka. 

Daripada segi persiapan, dia mengakui telah bersedia mental dan fizikal walaupun mengalami kecederaan lutut kanan, namun mengakui perkara itu tidak akan menjejaskan prestasinya dalam temasya kali ketiga itu. 

Kontinjen Malaysia akan diwakili 20 atlet daripada tujuh jenis sukan dan 13 pegawai dalam temasya yang menjadi platform buat atlet muda negara agar lebih bersemangat mengejar slot ke Sukan Olimpik.

Selain Jin Wei, atlet lain yang layak secara merit ke temasya itu ialah Kimberly Bong dan Jellson Jabilin (terjun), Low Zheng Yong dan Arvin Singh (renang), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz (olahraga), Zarith Imaan Khalid dan Rayna Hoh Khai Ling (gimnastik), Alice Chang Li Sian dan Choong Javen (ping pong), Chong Xian Hao (triatlon) dan pasukan hoki lima sebelah lelaki. 

— BERNAMA 

Advertisement

Must Watch Video