HOKI
Sukan Olimpik 2020: Hairi, Haziq belum sedia hadapi kejohanan ujian
Penjaga gol skuad hoki negara, Hairi Abd Rahman, antara tiga pemain yang terpaksa melupakan Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diadakan di venue temasya itu minggu depan ekoran belum pulih daripada kecederaan lutut.
Skuad hoki negara dijadual pulang ke tanah air Selasa ini selepas menamatkan program latihan di Eropah.
Malaysia akan terbang ke Tokyo, dua hari kemudian untuk menyertai Kejohanan Ujian Sukan Olimpik yang turut membabitkan tuan rumah selain India dan New Zealand.
Iklan
Beberapa rombakan pemain dijangka berlaku, namun tidak membabitkan pemain yang masih cedera.
"Institut Sukan Negara (ISN) telah mengesahkan saya tidak sempat pulih sebelum pertandingan di Jepun.
"Kecederaan meniskus di bahagian lutut memerlukan pemulihan yang terperinci dan penjagaan yang rapi sebelum boleh kembali beraksi," katanya.
Dua penjaga gol yang dibawa ke Eropah merupakan S. Kumar dan Adrian Andy Albert. Namun, Malaysia masih memiliki dua lagi penjaga gol simpanan, iaitu Mohd Hafizuddin Othman dan Zaimi Md Deris.
Selain Hairi, pemain yang masih menjalani rawatan kecederaan lutut terdiri daripada pemain tengah, Mohd Haziq Shamsul, dan Firhan Ashaari (penyerang).
"Masih terlalu awal untuk saya memulakan larian tetapi dengan program pemulihan yang sedang dijalani, saya harap boleh kembali berlatih tidak lama lagi," jelas Haziq.
Skuad negara akan menghadapi play-off kelayakan Sukan Olimpik 2020, November depan, selepas kali terakhir menyertai temasya itu pada 2000.
Must-Watch Video