Pucuk pimpinan baru Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) bertekad memperkasakan kembali sukan itu bermula tahun ini di samping menaruh harapan agar acara bola tampar disenaraikan semula dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Perak dari 12 hingga 22 September ini.

Sukan bola tampar semakin kurang diberi perhatian, apatah lagi selepas kegagalan skuad negara meraih pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

Lantas, Presiden MAVA, Datuk Benny Hoe, tidak mahu melihat sukan itu terus merudum dengan menjadikan 2018 sebagai tahun kebangkitan.

Beliau berkata antara perkara dalam perancangan MAVA adalah menumpukan kembali pembangunan pada peringkat akar umbi selain mendapatkan kepakaran luar bagi membantu skuad bola tampar senior dan bola tampar pantai negara.

"Kami akan membawa barisan jurulatih berpengalaman dalam program bola tampar dewan dan luar dewan.

"Mereka akan memberikan kami penyelesaian jangka panjang, bukan hanya mendapatkan keputusan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO MAVA di Cyberjaya, semalam.

Dalam pada itu, MAVA turut menaruh harapan agar acara bola tampar dapat disenaraikan dalam Sukma 2018.

Keputusan tidak menyenaraikan acara bola tampar dalam temasya sukan itu memberi satu kejutan buat MAVA kerana ia dipertandingkan dalam Sukma di Sarawak dua tahun lalu.

"Saya tidak melihat sebarang alasan bagi Sukma mengeluarkan bola tampar. Saya bercakap dengan Persatuan Bola Tampar Perak, kami boleh membantu mereka untuk menyokong keperluan penganjuran acara bola tampar," ujarnya.