Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia: Tonggak senior kabbadi taruhan buru pingat

kabbani.jpg
Penglibatan tiga pemain senior menjadi taruhan skuad kabaddi negara dalam memastikan impian memburu pingat dalam Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini tercapai.

Tiga pemain dimaksudkan terdiri daripada M. Dhinishwaran, M. Prabahkaran dan M. Sasi Kumar.

Mereka merupakan sebahagian daripada pasukan yang beraksi dalam temasya Incheon 2014 dengan Malaysia ketika itu menamatkan saingan di kedudukan kelima.

Dhinishwaran yang diberi kepercayaan sebagai ketua pasukan berpandangan skuad yang dibentuk kali ini mempunyai kekuatan tersendiri untuk bersaing di Jakarta-Palembang nanti.

Hanya kesuntukan masa daripada segi persiapan dilihat sebagai antara cabaran terbesar buat skuad negara kendalian M. Palaniandy.

"Kami boleh mengalahkan Jepun dan Korea Selatan tetapi halangan utama kami adalah India. 

"Mereka merupakan juara bertahan, namun kami akan cuba mendapatkan pencapaian terbaik yang termampu," kata Dhinishwaran.

Prabahkaran dan Sasi Kumar turut mempunyai pandangan yang sama mengenai kemampuan skuad negara dalam Sukan Asia.

Empat tahun lalu, Malaysia hampir membawa pulang pingat gangsa tetapi dikecewakan oleh tuan rumah, Korea Selatan, dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

"Kami akan buat yang termampu. Skuad ini merupakan campuran pemain lama dan baru.

"Kami sedang menyusun pasukan untuk menilai perkembangan kami pada tahun ini," kata Prabahkaran.

Tambah Sasi Kumar pula, "Sudah sebulan kami menjalani latihan dan barisan pelapis negara juga dilihat mantap."

 

Advertisement

Must Watch Video