Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Asia: Tiada istilah pilih jalan selamat -- Hannah

hannah.jpg
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan tidak wujud istilah Kementerian Belia dan Sukan takut atau pilih jalan selamat, susulan keputusan tidak meletakkan sasaran spesifik pingat Sukan Asia Hangzhou.

Keputusan yang diambil bukanlah secara semberono, sebaliknya mengambil kira pelbagai aspek termasuk nasihat pakar daripada Universiti Sains Sukan Nippon, serta pandangan barisan atlet yang bertanding.

Hannah percaya tidak ada sebarang kerugian untuk kontijen Malaysia mengikuti nasihat pakar yang sudah terbukti mendatangkan keputusan positif kepada negara seperti Jepun dan Australia sebelum ini.

KBS perlu berani untuk melakukan perubahan dalam kaedah penentuan sasaran pingat demi mendapatkan hasil yang lebih baik terutamanya di penyertaan sukan bertemasya.

Chef de Mission Sukan Asia 2022, Datuk Chong Kim Fatt, pada Isnin mengumumkan sasaran 27 pingat menerusi 13 jenis sukan tanpa menamakan sasaran emas untuk temasya yang bakal memasuki edisi ke-19 tahun ini.

"Setelah mendapatkan nasihat oleh (wakil) NSSU bahawa ini kaedah yang diguna pakai oleh Jepun dan Australia. Apa yang nak dilaksanakan ialah kita jangan lakukan sesuatu perkara secara membuta (tuli) hanya kerana ini praktis dulu.

"Masa sudah berubah, cabaran dihadapi oleh atlet juga berubah. Kalau negara itu guna pakai kaedah ini dan kita masih tegas mahu guna kaedah lama, kita yang rugi. Ini bukan satu kaedah KBS takut, MSN takut, kita guna nasihat profesional yang betul-betul tahu apa ingin dilaksanakan,” katanya.

Dalam perkembangan berbeza, Hannah berharap agar pengamal media tempatan yang akan bertugas di Hangzhou dapat berfungsi sebagai duta kecil dalam mempromosikan Malaysia kepada negara luar.

Beliau ditemui ketika sesi ramah mesra dan makan malam bersama pengamal media tempatan yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.
 

Advertisement

Must Watch Video