Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Asia: Rayzam lega KOM biayai perbelanjaannya ke Indonesia

rayzam.jpg
Atlet 110 meter lari berpagar, Rayzam Shah Wan Sofian, melahirkan kelegaaan apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tiada masalah untuk membiayai sepenuhnya perbelanjaannya ke Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Selepas kembali disenaraikan ke Sukan Asia dalam kategori B, Rayzam turut mampu menarik nafas lega apabila mendapat lampu hijau daripada KOM yang bersetuju untuk membiayai sepenuhnya kos ke Indonesia.

Dia baru dimaklumkan oleh KOM hari ini setelah terdahulu Majlis Sukan Negeri Sabah sanggup untuk mengeluarkan peruntukan buat Rayzam. 

"Segala kos untuk ke Sukan Asia Indonesia akan ditanggung oleh KOM. Saya merakam penghargaan tinggi kepada persatuan kerana menanggung semua perbelanjaan saya ke sana," katanya.

Bagaimanapun, atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi, setakat ini hanya dimaklumkan oleh KOM bahawa segala perbelanjaan ke Indonesia perlu dibayar sendiri olehnya. 

Bagi Iskandar, dia tetap sanggup untuk menggunakan bajet sendiri ke sana memandangkan bukan mudah untuk berpeluang beraksi di Indonesia walaupun itu adalah tanggungjawab persatuan.

"Bagi saya ia (penyertaan dalam Sukan Asia) adalah satu berita gembira. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan saya peluang  untuk menyertai temasya itu," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video