Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Asia: Norza mahu persatuan tidak bebankan atlet

norza2.jpg
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, memberi amaran terhadap persatuan sukan kebangsaan yang meminta atlet mengeluarkan dana sendiri hingga mencecah RM5,000 seorang untuk mewakili negara ke Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Beberapa persatuan dikesan meminta atlet mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mewakili negara.

Ia bertentangan dengan persefahaman yang dicapai di antara MOM dan persatuan yang bersetuju menghantar atlet di bawah kategori B.

Kategori itu menyaksikan persatuan perlu menampung kos atlet mereka ke Sukan Asia dan jika berjaya meraih pingat, MOM akan membayar balik kos terbabit.

"Kami berharap persatuan yang memberikan komitmen untuk menghantar pasukan mereka di bawah kategori B harus tidak membebankan atlet mereka. Mereka harus mencari kewangan mereka sendiri," kata Norza.

Kontinjen negara yang merangkumi 421 atlet membabitkan 35 jenis sukan. Daripada jumlah itu, 241 atlet berada di bawah kategori B.

Beberapa atlet mengakui terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri kerana persatuan tidak mempunyai wang untuk menghantar mereka bertanding.

"Kami mahu atlet fokus dengan latihan dan persiapan mereka bagi memberikan prestasi terbaik ketika berada di Indonesia," kata Norza lagi. 

Advertisement

Must Watch Video