Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia: MASCA beri jaminan buat atlet

kanu_1.jpg
Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) mengambil serius amaran daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) apabila bersetuju untuk membiayai sepenuhnya perbelanjaan 44 atlet mereka ke Sukan Asia Indonesia 2018 dengan anggaran kos sehingga RM88,000.

Kanu merupakan sukan yang menghantar jumlah atlet paling ramai, iaitu sehingga 44 orang, untuk menyertai Sukan Asia dalam kategori B buat julung kalinya.

Setiausaha Kehormat MASCA, Mohd Hisyam Sah Nuddin, menjelaskan bahawa barisan atlet tidak pernah dipaksa untuk mengeluarkan peruntukan sendiri, sebaliknya persatuan sudah menyediakan segala kos penerbangan dan penginapan yang menelan belanja sehingga RM80,000.

Malah, mereka sedar dengan amaran MOM yang menegaskan larangan memaksa atlet menggunakan perbelanjaan sendiri, sebaliknya MASCA sentiasa berusaha dalam mencari dana mencukupi buat mereka.

"Sebenarnya, tidak wujud istilah atlet perlu membiayai sendiri perjalanan ke Sukan Asia dan perkara ini perlu ditanggung oleh persatuan.

"Kami sedar MASCA menghantar pasukan paling ramai, iaitu melibatkan 44 atlet serta empat pegawai. Kami mencari seberapa banyak dana untuk menanggung penginapan dan tiket penerbangan," kata Hisyam.

Ketika ini, skuad kanu negara sedang giat menjalani latihan intensif sejak bulan lalu sehingga 15 Ogos ini di tiga venue berlainan, mengikut disiplin masing-masing, iaitu bot tradisional, slalom dan kanu polo.

Advertisement

Must Watch Video