Skip to main content

Sukan Lain

Sukan Asia: Isu dana skuad kenu selesai

hisyam.jpg
Persatuan Kenu Malaysia (MASCA) menjelaskan dakwaan bahawa surat yang dihantar oleh atletnya daripada acara kenu polo kepada Pejabat Parlimen Muar sebelum diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung permohonan bantuan dana sebelum ini hanyalah salah faham.

Setiausaha Kehormat MASCA, Mohd Hisyam Sah Nuddin, menganggap perkara itu sudah pun selesai dan atlet berkenaan telah sedia maklum bahawa persatuan sedia membiayai perbelanjaan mereka ke Sukan Asia Jakarta-Palembang tanpa perlu mengharapkan pertolongan daripada KBS.

"Pembiayaan ini bukanlah pembiayaan untuk ke Sukan Asia, sebaliknya untuk Kejohanan Dunia.

"Maklumat sebelum ini tidak tepat, bagaimanapun, persiapan kami untuk ke Sukan Asia tidak terjejas.

"Kami tidak memandang berat tentang perkara itu, sebaliknya tetap fokus untuk Sukan Asia," katanya menjelang temasya Sukan Asia dari 18 Ogos hingga 2 September ini. 

MASCA memperuntukkan sebanyak RM80,000 untuk menghantar seramai 44 atlet ke Indonesia.

Hisyam berharap barisan atlet tidak mensia-siakan usaha persatuan dalam mencari peruntukan dengan cuba meraih pingat buat negara, khususnya bagi acara bot tradisional lelaki.

"Sasaran kami sekurang-kurangnya satu perak menerusi bot tradisional lelaki. Untuk acara-acara lain, kami yakin dapat sampai ke final dan melakukan kejutan," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video