Skip to main content

Hoki

Sukan Asia: Harapan tinggi buat skuad hoki negara

kumar.jpg
Penjaga gol skuad hoki kebangsaan, S. Kumar, menganggap tanggungjawab sepenuhnya tergalas di bahu pasukannya dalam memastikan kilauan pingat selepas nama-nama besar seperti Cheong Jun Hoong dan Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

Sebaik bayangan kutipan emas Sukan Asia diberikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, ramai yang cuba meneka atlet mana yang memiliki kredibiliti untuk menyempurnakan hasrat itu.

Ditambah dengan ketiadaaan Chong Wei dan Jun Hoong, kontinjen negara umpama tiada pilihan lebih baik untuk diberikan harapan.

Sehubungan itu, Kumar menganggap ia sebagai tanggungjawab yang perlu disempurnakan sebaik-baiknya oleh skuad hoki negara, dengan sekurang-kurangnya membuktikan mereka boleh diharapkan dalam temasya itu.

"Memang kami sasarkan emas tetapi kami tidak boleh memandang mudah lawan. Kami perlu fokus satu perlawanan demi satu perlawanan.

"Kami perlu melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu, kami perlu menyusun strategi berdepan setiap pasukan.

"Bagaimananpun, separuh akhir adalah perlawanan berbeza. Sekali kami masuk ke perringkat itu, ia memang sukar. Kalau kami melepasi separuh akhir, mungkin kami ada peluang untuk meraih emas," kata Kumar.

Dalam pada itu, pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim, menganggap skuad negara ketika ini di landasan terbaik selepas pulang dari Jelajah Australia.

"Tekanan memang ada dalam setiap perlawanan. Kami akan hadapi satu persatu, terutama aksi pertama berdepan Kazakhstan. Ia perlawanan penting untuk kami melihat ke depan," katanya.

Advertisement

Must Watch Video