Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Asia: Harapan sepak takraw negara sertai acara regu masih pudar

azim.jpg
Status skuad sepak takraw negara untuk menyertai acara regu lelaki akan diketahui esok apabila tiga pegawai sukan Malaysia melakukan pendaftaran akhir kontinjen dalam Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini. 

Peluang nyata makin tipis untuk Malaysia menyertai acara itu. Kurang dua minggu menjelang temasya, skuad negara masih diundi dalam acara regu berpasukan dan berpasangan berpasukan walaupun Malaysia memohon menyertai acara regu.

Tiga pegawai daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan melakukan proses pendaftaran akhir sebelum pengumuman dibuat dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, petang esok.

"Sepatutnya kami dapat surat hari ini tetapi kami masih menunggu. Esok, kami ada mesyuarat delegasi di Jakarta.

"Saya pasti perkara ini akan dibincangkan dan Insya-Allah ia akan dapat diselesaikan," kata Chef-de-mission negara ke Sukan Asia Indonesia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Jika tidak tersenarai, peluang terakhir ialah melalui rayuan panel abritrasi Sukan Asia yang perlu dibuat sebelum temasya bermula, 18 Ogos ini, dan ia akan menjadi tugas MOM.

"Mereka tahu situasi kami dan kami menerima maklum balas positif tetapi kami berharap mendapat hitam putih.

"Dalam masa terdekat ini, kami mengharapkan keputusan positif untuk sepak takraw negara," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Advertisement

Must Watch Video