Skip to main content

Gusti

Strowman makin garang, Dendam baharu tercipta di Payback

strowman_1.jpg
Acara bulanan pertama pasca Wrestlemania yang berlangsung semalam terus menjadi medan buat bintang perkasa Braun Strowman mempamerkan kegagahannya.

Disaksikan lebih 13,000 penonton yang membanjiri arena SAP Centre di San Jose, California, Strowman buat kesekian kalinya membuktikan kemampuannya untuk bergelar bintang utama di jenama Raw apabila berjaya menewaskan Roman Reigns di acara kemuncak yang disiarkan secara eksklusif di WWE Network.

Keputusan perlawanan seperti telah dapat dijangka lebih awal apabila Roman yang masih diselubungi kecederaan akibat serangan Strowman ketika acara Raw dua minggu lalu, muncul dengan kondisi fizikal yang bukan 100%. Hampir separuh bahagian atas tubuhnya masih berbalut menandakan yang dirinya masih dalam fasa pemulihan natijah daripada serangan tersebut.

Beberapa tumbukan ke muka Strowman oleh The Big Dog di awal-awal perlawanan juga seakan langsung tidak memberi kesan. Sebaliknya, Strowman membalas siri serangan itu dengan mensasarkan pukulan di bahagian bahu Roman yang tercedera sehingga satu ketika Roman terpelanting keluar dari gelanggang dan terhempas ke besi penghadang penonton.

Roman hampir beroleh kemenangan apabila berjaya melaksanakan gerakan lazimnya iaitu rempuhan bahu serta beberapa tumbukan layang Superman. Ternyata ia masih belum cukup ampuh untuk menumbangkan bintang dengan berat lebih 380 paun tersebut. Cubaan Roman untuk melayangkan satu lagi tumbukan mengundang padah apabila ia disambut baik oleh Strowman, membuatkan dirinya terperangkap lantas menerima buah penyudah gergasi itu, iaitu Larian Kuasa Berhempas (running powerslam).

Tiga kiraan pin berjaya dilakukan dan Strowman dengan megah diisytiharkan sebagai pemenang. Namun kemenangan itu belum cukup memuaskan hati Strowman. Dia kembali ke gelanggang dan terus menyambung kerja jahatnya terhadap Roman menggunakan tangga besi gelanggang.



Setelah menghempaskan muka Roman ke tangga tersebut, tulang rusuk Roman pula menjadi sasaran apabila turut menerima hempasan daripada tangga besi tersebut. Kelihatan darah menyembur keluar dari mulut Roman yang dipercayai mengalami pendarahan dalaman.

Roman dibimbangi mengalami kecederaan dalaman yang agak parah sehingga terpaksa dipapah masuk ke belakang tabir. Sekali lagi Strowman mempamerkan sifat kebinatangannya apabila cuba menyerang Roman yang baru sahaja hendak masuk ke dalam ambulan.



Mujur Roman pantas mengelak dan pintu belakang ambulans pula tercabut akibat rempuhan tersebut manakala Strowman pula terlajak melanggar kotak-kotak yang tersusun berhampiran, sekaligus menghentikan siri serangan setelah berjaya dileraikan oleh para pegawai bertugas.
 

Susulan kejayaan ini, Strowman dijangka akan diberi peluang untuk menjadi pencabar utama Kejuaraan Universal yang kini disandang oleh Brock Lesnar. Pertembungan klasik antara dua penggusti raksasa ini diramal akan berlangsung di acara WWE Great Ball Of Fire pada bulan hadapan.

Bercakap tentang kecederaan, Jeff Hardy juga turut mengalami nasib yang sama apabila mengalami kepatahan gigi depan dan terpaksa menerima rawatan kecemasan. Semuanya terjadi pasca perlawanan antara The Hardy Boyz yang menentang pasangan Sheamus dan Cesaro bagi Kejuaraan Regu Raw.





The Hardys mengekalkan rentak cemerlang apabila sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan yang mereka menangi di acara Wrestlemania awal bulan lalu. Sebaik sahaja perlawanan berakhir, Sheamus dan Cesaro bersalaman dengan mereka bagi meraikan semangat kesukanan, sama seperti yang kesemua mereka lakukan di acara Raw sejak dua minggu lalu.

Ketika Matt dan Jeff meraikan kemenangan bersama penonton, Cesaro dan Sheamus berlari semula ke gelanggang dan menolak Jeff yang sedang berdiri di penjuru gelanggang ke bawah. Tendangan kuat Brogue Kick turut diberikan sebagai cenderamata kenang-kenangan daripada Sheamus sebelum kedua mereka bergaya dengan bengkung kejuaraan milik The Hardys.

Susulan serangan ini, Matt telah memberikan amaran kepada Sheamus dan Cesaro menandakan dendam kesumat baharu telah mula berdarah, dan mereka akan menanggung akibat daripada perlakuan keji tersebut.



Bintang comel tetapi nakal kesayangan ramai (termasuk penulis), Alexa Bliss pula mencipta sejarah yang tersendiri apabila menjadi bintang wanita WWE pertama bergelar Juara Wanita Raw dan Juara Wanita Smackdown. Alexa yang baru sahaja berpindah jenama dari Smackdown ke Raw susulan rombakan bintang awal bulan lalu, dengan cemerlang berjaya menundukkan Bayley hasil gerakan hempasan kepala DDT setelah kepala bekas Juara Wanita Raw dan NXT itu terhantuk keras di tiang gelanggang.

Keputusan lain menyaksikan Enzo dan Cass mengalahkan Gallows dan Anderson di acara sepak mula. Chris Jericho menewaskan Kevin Owens dan bergelar Juara Amerika Syarikat yang baharu seterusnya akan menyertai jenama Smackdown. Austin Aries beroleh kemenangan ke atas Neville namun kempunan sebagai juara hasil kemenangan DQ. Bray Wyatt pula tumpaskan Randy Orton dalam perlawanan unik Rumah Menakutkan yang berakhir di arena, hasil gangguan daripada Jinder Mahal dan The Singh Boys. Manakala dendam Seth Rollins terbalas apabila berjaya membenam Samoa Joe hasil tindanan pin bergulung.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro On The Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 

Advertisement

Must Watch Video