Skip to main content

Sukan SEA

Sofian Nabil kecewa sukar dapat bantuan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sofian-nabil.jpg
Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Sofian Nabil Omar Bakri, membayangkan tahun ini merupakan tahun terakhirnya berkayuh sebagai atlet negara seandainya masih sukar untuk mendapatkan bantuan lengkap tahun depan. 

Berbeza dengan lima pelumba lain dalam senarai akhir acara lepas beramai-ramai dalam Sukan SEA Filipina, November depan, dia merupakan satu-satunya pelumba yang berlatih berseorangan tanpa bantuan pasukan kelab.

Kem latihan pusat skuad kebangsaan hanya akan diadakan September depan dan untuk sementara waktu, dia terpaksa berdikari mengatur latihannya dalam usaha memastikan dia dapat membuat penampilan keduanya dalam temasya itu.

Bagaimanapun, sekiranya usaha itu tidak membuahkan hasil, dia sudah berkira-kira untuk mengundurkan diri selepas kelabnya, Forca Amskins, menghadapi masalah.

"Jika ada pasukan atau apa-apa lagi yang boleh membuatkan saya berkayuh, saya akan berkayuh lagi.

"Jika tidak, saya akan buat benda lainlah.

"Memang susah, ini pun saya (lakukan) untuk keluarga saya sahaja.

"Mereka yang banyak menyokong saya walaupun mereka tahu saya bergerak sendiri tanpa jurulatih.

"Cuma yang penting, saya perlu menjajga keselamatan saya kerana saya menjalani latihan secara seorang. Tiada pengiring atau apa sahaja" katanya.

Setakat ini, Sofian Nabil menumpang berlatih bersama skuad pelapis Majlis Sukan Negara (MSN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebagai rekod, pelumba itu pernah mencipta kejutan apabila membantu skuad negara meraih jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dalam perlumbaan peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL), April lalu.

"Apabila ada bantuan daripada mana-mana pihak, saya mungkin akan melakukan yang lebih baik lagi sebab sekarang memang tiada pakar nutrisi atau tukang urut.

"Sebelum ini, saya dengan MSN hingga 2017.

"Selepas itu, saya tidak disambung kontrak," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video