SUKAN LAIN
SMKGR sertai Kejohanan Sekolah Sukan Thailand
Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan RM14,000 kepada SMK Gunung Rapat (SMKGR), Ipoh, yang akan menyertai Kejohanan Sekolah Sukan Thailand Kali Ke-23, bermula Sabtu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Howard Lee Chuan How, berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan bendera kepada kontinjen SMKGR, hari ini.
Katanya, sumbangan itu adalah hasil gabungan tiga exco, iaitu pelancongan, pendidikan dan pejabat beliau.
Iklan
"Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan pihak sekolah serta menyuntik semangat atlet untuk mengusahakan kejayaan," katanya.
Howard berkata SMKGR bukan setakat menyertai kejohanan tetapi apa yang lebih penting menjadi duta negeri Perak dan negara.
"Jadi, adalah penting untuk menunjukkan pekerti dan peribadi yang baik dalam temasya ini," tambahnya.
Sementara itu, Pengetua SMKGR, Roslen Hashim, memberitahu bahawa ia adalah kali ketiga sekolah itu menyertai kejohanan berkenaan.
Katanya, mereka akan menyertai empat acara, iaitu hoki, bola sepak, sepak takraw dan olahraga, dengan sasaran untuk memperbaiki pencapaian lima emas tahun lalu.
Bagaimanapun, Roslen menegaskan matlamat utama penyertaan dalam kejohanan itu ialah untuk memberi pendedahan kepada atlet SMKGR.
"Selama ini, mereka hanya bertanding sesama atlet di Malaysia sahaja. Jadi, ini peluang bersaing menentang atlet di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Must-Watch Video