Skip to main content

Sukan Lain

Skuasy Terbuka AS: Sivasangari ke pusingan ketiga

sivasangari.jpg
Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, mengejutkan pemain ranking ke-13 dunia, Alison Waters dari England, untuk layak ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Philadelphia, awal pagi tadi. 

Pemain berkedudukan ke-48 dunia itu meraih kemenangan 11-5, 4-11, 11-7, 11-9, dalam kejohanan bertaraf platinum Jelajah Dunia PSA di Pusat Daskalakis Athletic itu, menurut laman sesawang kejohanan; www.usopensquash.com.

Untuk rekod, Sivasangari menjuarai Siri Racquet Club Pro dan juga Terbuka Australia sebelum ini apabila menewaskan Colline Aumard dari Perancis 9-11, 11-3, 11-6, 7-11, 11-9. 

Bagaimanapun, pemain berusia 20 tahun itu akan menghadapi satu lagi laluan sukar bertemu pemain ketujuh terbaik dunia, Sarah-Jane Perry (jam 1.30 pagi esok).

Perry, yang merupakan pemain pilihan keenam, layak ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain Kanada, Hollie Naughton, 11-7, 11-6, 11-8.

Terdahulu, seorang lagi pemain negara, Low Wee Wern, terkeluar daripada kejohanan bernilai AS$185,000 (RM777,746) itu selepas tewas kepada pemain pilihan ke-13, Salma Hany dari Mesir, 5-11, 7-11, 2-11.

Malaysia tidak menghantar pemain lelaki menyertai kejohanan tersebut.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video