Skip to main content

Sukan Lain

Skuasy Terbuka Australia: Sivasangari juara, Syafiq naib juara

71536704084_ssivasangari.jpg
Pemain skuasy negara, S. Sivasangari, merangkul gelaran juara Persatuan Skuasy Profesional (PSA) ke-11 selepas memenangi mahkota perseorangan wanita Terbuka Australia 2019 manakala Mohd Syafiq Kamal meraih naib juara dalam aksi yang berlangsung hari ini.

Pemain berusia 20 tahun itu menewaskan Satomi Watanabe dari Jepun 5-11, 11-9, 11-9, 11-9 dalam final selama 39 minit di Bega Country Club, Australia.  

Pemain Wanita Muda Terbaik Tahunan 2017/18 PSA itu mara ke final selepas menewaskan peserta tuan rumah, Christine Nunn, 11-6, 9-11, 11-4, 11-9 manakala Satomi menumpaskan pemain Malaysia, Rachel Arnold, 11-6, 11-8, 10-12, 9-11, 11-3 dalam saingan separuh akhir semalam.

Sivasangari adalah pemain ketiga negara memenangi kejuaraan Terbuka Australia sejak kejohanan itu bermula pada 1979, selepas bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David, memenanginya pada 2011 dan 2012 serta Low Wee Wern tahun lalu.

Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Mohd Syafiq gagal mengikuti jejak Sivasangari selepas tewas kepada pemain Perancis, Victor Crouin, 8-11, 5-11, 4-11 dalam masa 22 minit.

Di peringkat empat terakhir, Mohd Syafiq mengatasi pemain Jepun, Tomotaka Endo, 11-8, 7-11, 11-6, 11-9 manakala Crouin menyingkirkan seorang lagi pemain negara, Addeen Idrakie, 11-4, 11-6, 6-11, 11-7.

Satu-satunya pemain Malaysia yang memenangi gelaran perseorangan lelaki Terbuka Australia adalah Ng Eain Yow pada 2017.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video