Skip to main content

Sukan Asia

Skuasy: Skuad berpasukan lelaki pasang hajat tukar kilauan perak

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

nafiizwan-adnan.jpg
Skuad skuasy lelaki berpasukan negara turun di pentas final dengan reputasi bukan pilihan jika dibandingkan dengan Hong Kong menjelang final Sukan Asia Jakarta-Palembang, petang ini.

Siapa sangka, skuasy lelaki berpasukan negara melepasi sasaran dan kini memiliki peluang untuk mengubah warna pingat selepas penampilan 2014 berakhir dengan pingat perak.

Bertemu Hong Kong yang membariskan ramai pemain dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia, skuad negara yang diketuai Nafiizwan Adnan, Ng Eain Yow dan Ivan Yuen secara relevannya bukan pasukan pilihan.

"Saya tidak boleh menjanjikan apa-apa dengan pingat perak sekurang-kurangnya sudah terjamin.

"Saya tidak rasa tertekan untuk mendapatkan emas. 

"Sebelum ini, dalam edisi 2010 dan 2014, saya meraih perak. Kali ini mungkin berbeza. 

"Saya mahu mencabar diri sendiri untuk melakar keputusan yang lebih baik daripada sebelum ini.

"Rakan sepasukan sudah bersedia untuk memberikan penampilan baik," kata Nafiizwan.

Sementara itu. Eain Yow melihat ia peluang terbaik untuk barisannya melakar kejutan.

Selepas berita hampa yang dihadirkan skuad berpasukan wanita negara, tanggungjawab kini bertukar tangan.

Tegas Eain Yow, kelebihan bukan pilihan banyak memberi kebaikan buat Malaysia yang akan turun beraksi tanpa tekanan.

"Kami diletakkan sebagai pilihan ketiga di peringkat kumpulan.

"Kami sedar kami mempunyai peluang yang baik untuk ke final. 

"Kemenangan ke atas India melonjakkan semangat kami," ujar Eain Yow lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video