Skip to main content

Sukan Asia

Skuasy: Sivasangari hadiahkan kejayaan untuk keluarga

sivaa.jpg
Pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari, menghadiahkan kejayaan sensasi kepada keluarga yang tidak dapat datang ke Jakarta ekoran masalah peribadi apabila mengejutkan pilihan kedua, Annie Au dari Hong Kong, dalam aksi Sukan Asia 2018, hari ini.

Sivasangari layak ke peringkat separuh akhir menerusi kemenangan lima set setelah mencatat keputusan 11-9, 11-13, 11-5, 11-3, 11-5, sekali gus mencipta sejarah dalam kariernya.

"Ibu-bapa saya begitu gembira dan mereka sentiasa berhubung dengan pengurus pasukan mengenai keputusan perlawanan. Mereka sepatutnya berada di sini tetapi pasti gembira dengan kemenangan ini.

"Saya tidak pasti mengapa mereka tidak dapat hadir, mungkin disebabkan masalah peribadi tetapi saya tetap berpuas hati," kata Sivasangari.

Kemenangan itu bermakna Malaysia berpeluang untuk menyaksikan dua wakil berentap di pentas final setelah ratu skuasy kebangsaan, Datuk Nicol Ann David, terlebih dahulu mengesahkan tempat dalam kelompok empat terakhir menerusi kemenangan ke atas Satomi Watanabe.

Nicol melangkah ke separuh akhir setelah mudah menewaskan wakil Jepun itu dengan keputusan 3-0 (11-6, 11-4, 11-3) dan kini berada di landasan terbaik untuk mempertahankan pingat emas buat kali keempat berturut-turut sejak memenanginya dalam edisi 2006.

Bekas pemain nombor satu dunia itu akan menentang wakil India, K. Dipika Palikkal, yang hadir selaku pilihan ketiga dalam separuh akhir. 

Dalam aksi kategori lelaki, Nafiizwan Adnan turut mara ke separuh akhir setelah menewaskan pemain Qatar, Al Tamimi Abdulla, dengan keputusan 3-2  dan akan berdepan Lee Ho Yin dari Hong Kong untuk merebut tiket ke aksi final.

Bagaimanapun, kejayaan Nafiizwan itu gagal dituruti seorang lagi pemain negara, Ivan Yuen, yang kecundang 0-3 kepada pemain Hong Kong, Au Chung Ming.

Advertisement

Must Watch Video